Monday, November 8, 2010

Ikhlasku seiring dengan kegembiraanku menyempurnakan tanggungjawab...

Anak-anak yang membesar dalam alaf ini, berdepan dengan kemelut yang memang disedari akan melemahkan jati diri. Namun, orang dewasa hanya mampu mamandang sahaja tanpa terdaya untuk bertindak. Ibu dan bapa hanya membiarkan anak-anak berlari ke arah kemelut itu tanpa ada pesanan, bangkangan, halangan dan nasihat. Tidak mampu kerana kemelut itu datang dari pelbagai arah. 

Dalam rumah sudah tentu televisyenlah yang merupakan santapan yang diratah tanpa ada tapisan minda dan rohani. Kemungkaran setiap cerita yang dihidang ditonton tanpa ada ulasan yang membina dan berguna dari individu yang lebih arif tentang batasan patut dan tidak patut. Maka akan lahirlah remaja yang pandai bertindak melulu. Bertindak mengikut logik akal yang bertunjangkan naluri ingin tahu. Ahhhh… malang nasib anak-anak ku nanti.

Budaya membaca semakin kabur sedangkan sebelum ini seumpama sudah terkubur. Internet sudah menjadi sebati dalam hidup, bila masa buku yang lebih terpimpin maklumatnya akan menjadi galang ganti untuk menyuburkan jiwa yang kering kontang….
Kanak-kanak dengan dunia mereka. Orang dewasa dengan dunia mereka dan orang tua dengan dunia mereka. Masing-masing sibuk dengan agenda tersendiri.

Golongan yang pening dengan nasib merudum bangsa hanya tinggal sedikit Cuma. Berjuang dalam keadaan jatuh bangun tanpa ada sokongan dan kadang-kadang sokongan hanya bermusim. Di manakah pejuang yang akan membela hak bangsa? Membela nasib bangsa agar tidak dieksploitasi dari pelbagai sudut… di manakah mereka? Atau masih tidak sedar nasib bangsa yang sedang hanyut di bawa arus kemodenan yang tidak tahu hujung pangkal. Yang tidak mengenal makna patut tidak patut. Normal dan tidak.

Ahhh…kesian anak-anak aku nanti… terpaksa berdepan dengan wayang dunia yang tidak bertanggungjawab. Dari pelakon yang mempunyai skrip untuk kepentingan golongan tertentu. Dari pelakon yang sememangnya lahir dari dunia yang tidak menentu. Ahh malang anak-anak aku, membesar dalam dunia tidak menentu…

1 comment:

  1. berkongsi aktiviti riadah dan kem yang sesuai untuk anak-anak bangsa...

    ReplyDelete